SEBELUM ini kami sudah ‘selongkar’ semula video Youtube yang mengubah nasib Justin Bieber hingga menjadi bintang remaja paling popular dunia pada hari ini dan Charice yang kini menempa nama di peringkat antarabangsa.
Kali ini mari saksikan dua lagi video Youtube yang mengubah nasib dua remaja yang daripada tak ada siapa kenal, hingga berjaya menempatkan diri sebagai penyanyi terkenal di negara seberang dan di tanah air kita sendiri.
TEGAR
Kisah penyanyi jalanan dari negara seberang ini umpama ‘magis’ dan amat mengharukan. Seperti kita sedia maklum, sangat ramai kanak-kanak di Indonesia mencari wang saku atau belanja makan dengan cara mengamen iaitu menyanyi dan bermain muzik di jalanan.
Bagaimanapun, permata yang jatuh ke lumpur akan tetap bersinar. Itulah ibaratnya apabila tindakan seorang lelaki memuatnaik nyanyian seorang kanak-kanak pengamen dari Subang, Jawa Barat, Indonesia mendapat perhatian ramai orang hingga mencatat rating view yang sangat tinggi (kini mendapat like lebih 7 juta orang).
Anak kecil bersuara emas itu adalah Tegar,11, yang hidup serba kekurangan hingga terpaksa melepaskan zaman persekolahan demi sesuap nasi. Ibu Tegar juga seorang pengamen di stesen keretapi Pegaden, manakala bapa tirinya cuma buruh. Mereka tinggal di sebuah rumah petak berukuran sekitar 4×6 meter sahaja bersama tiga lagi adiknya yang masih kecil-kecil.
Tegar mula menyanyi sejak empat tahun dan mula mengamen pada usia tujuh tahun. Walaupun masih muda, Tegar sudah pandai mencipta beberapa lagu, antaranya Temanku Ini Mabuk Cinta yang sering dinyanyikannya ketika mengamen.
Setelah klip video dia mengamen mendapat sambutan hangat, Tegar dibawa seorang lelaki bernama Alfas Hermansyah menyertai pertandingan Kompetisi XL. Seperti dijangka Tegar meraih kemenangan lalu berjaya memasuki studio rakaman sekaligus bergelar penyanyi terkenal pada hari ini.
Kapsyen: Inilah video yang mengubah nasib seorang anak cilik yang asalnya tak punya apa-apa, tapi sekarang sudah mampu memiliki iPad, motosikal lasak dan macam-macam lagi.
………………………………………..
NAJWA LATIF
Di Malaysia juga, ada beberapa nama yang memasuki dunia glamor disebabkan kuasa Youtube. Namun yang boleh dianggap paling berjaya adalah Imratul Najwa Abdul Latif, 18, atau lebih dikenali sebagai Najwa Latif.
Asalnya, Najwa menggunakan Youtube untuk berkomunikasi dengan bapanya yang tidak tinggal bersamanya dan adik beradik lain. Justeru bagi melepaskan kerinduan, dia menggunakan medium internet termasuk Facebook dan Yahoo Messenger.
Najwa turut memuatnaik lagu-lagu nyanyian di Youtube untuk ditunjukkan pada bapanya. Lagu-lagu itu kemudiannya mendapat perhatian ramai termasuk wakil beberapa syarikat rakaman.
Najwa akhirnya memilih untuk bernaung di bawah syarikat NAR Records disebabkan kesungguhan syarikat itu melamarnya.Tindakan itu membawa kepada kelahiran single pertamanya, Cinta Muka Buku yang dicipta oleh Najwa bersama kakaknya disusuli album mini berjudul Najwa Latif.
Hingga saat ini, Najwa terus konsisten mencipta nama dalam dunia muzik tanah air apabila kesemua single dalam albumnya berjaya mendapat sambutan hangat pendengar. Antaranya Carta Hati, Kosong, Untuk Dia, Adamu dan Sahabat.
Lagu Untuk Dia yang didendangkan Najwa bersama kumpulan dari Singapura, Sleeq pula menjadi lagu Melayu paling banyak ditonton di Youtube sehingga ke hari ini dengan view mencecah lebih 13 juta!
Kapsyen: Lagu pertama yang dimuatnaik oleh Najwa Latif di Youtube, 3 tahun lalu.
Oleh: REM RAMZI
0 komentar:
Posting Komentar