
Perkhabaran ini pastinya menggemparkan peminat industri tanah air.
Masakan tidak, sebelum ini nama pelakon filem Juvana, Johan As’ari sering kali dikaitkan dengan penyanyi Shila Amzah, tup-tup dia kini dikatakan sudah bersedia untuk menyunting aktres seksi, Lana Nodin, 34, sebagai isterinya.
Menerusi laporan Berita Harian hari ini, hubungan kedua-duanya dilaporkan mula rapat selepas berjumpa buat pertama kali dalam sebuah program pada 18 Oktober lalu.
Apa yang menariknya, Johan nekad melamar Lana selepas mereka keluar makan tiga hari berturut-turut!
Menurut Johan, “jodoh pertemuan, ajal maut adalah ketentuanNya. Kita tidak tahu bila ia datang. Perasaan saya cukup kuat bagai ada suis yang mendorong saya merapatinya.
“Kami berborak panjang pada majlis itu. Selepas bertukar nombor, kami keluar makan tiga hari berturut-turut sebelum saya tekad membuka mulut mahu menyunting,” katanya.
Sebelum ini, Lana yang digelar sesetengah pihak sebagai Pamela Anderson Malaysia pernah menjalinkan hubungan dengan seorang model Republik Chezh, Pavel Mischalec.
Manakala, Johan pula banyak kali dikaitkan dengan pelakon gandingannya sebelum ini, seperti Fasha Sandha, Nabila Huda, Izreen Azminda dan yang terbaru, Shila Amzah.
Johan mengakui kelembutan yang ada pada diri Lana membuatkannya terpikat dengan pelakon kelahiran Sarawak itu.
“Lana sangat menyenangkan. Dia nampak lincah, tetapi dia punya kelembutan tersendiri, memang dia sendiri terkejut dan bertanya semula sewaktu saya melamarnya. Mungkin tiga hari terlampau awal untuk menyelami hati seseorang. Saya yakin cinta kami akan terus bersemi selepas kahwin,” jelas Johan lagi.
Johan juga mengatakan perancangannya untuk mendirikan masjid pada tahun hadapan bersama wanita pujaannya itu.
Ketika ditanya mengenai keakrabannya dengan Shila sebelum ini, Johan menjelaskan, “sebelum ini saya sudah menjelaskan, keakraban saya dengan Shila hanya sebagai adik dan abang”.
Bagi Lana pula, keikhlasan dan ketulusan hati Johan membuatkannya sebak dan mampu membuka pintu hatinya untuk menerima jejaka berusia 27 tahun itu sebagai suaminya.
Oleh: AUDREY LEE
0 komentar:
Posting Komentar